Etimologi Melayu, Hubungan Antar Suku Serta Kerajaan Melayu

foto: pecintabugis

Perkataan “Melayu” itu ialah versi baru (dalam ejaan “Rumi Melayu” awal abad ke-20 daripada ejaan Jawi sebelum itu dan Palawa dan Kawi sebelumnya lagi) kepada perkataan asalnya Malaya, iaitu perkataan Sanskrit yang bermakna “Gunung” (Perkataan Himalaya di Tibet yang terkenal itu bermakna “Gunung Tinggi” atau “Gunung Salji”; dan di pulau Jawa juga ada kawasan tasik di pergunungan tinggi yang dinamai Tasik Malaya hingga sekarang).

Kami berpendapat perkataan asal “Melayu”, iaitu Malaya, berupa terjemahan Hindia (Sanskrit) kepada Bnom, Pnom atau Phnom, bahasa Mon-Khmer yang dipercayai bersimbiosis dengan “Melayu Purba”, khususnya Funan, yang entah bila berubah bentuknya kepada “Gunung” dalam bahasa Melayu sekarang ini. China Purba menyebut Bnom/Pnom/Phnom ini sebagai Fou-Nan, Fou-nan, atau Founan yang yang dibakukan kepada ejaan Rumi

“Melayu” kini sebagai Funan bagi merujuk sebuah kerajaan rumpun Melayu di Kemboja, Kerajaan Funan, yang wujud pada abad ke-1M hingga ke-6M (Lihat seksyen 1.6). Oleh itu daripada segi sejarah dan etimologi perkataan “Melayu” ini, jelaslah sekurang-kurang pada awal Masehi, orang yang sejak di-Rumi-kan pada awal abad ke-20M ini sebagai “Melayu” sudah berada di rantau yang sekarang ini dinamai Gugusan Pepulau Melayu (Kepulauan Melayu) ini.


Orang Pnom/Phnom/Funan (“rumpun Melayu”) di Kemboja itu juga sudah berhubung dengan “rumpun Melayu” lain lagi yang dinamai Jawa (atau Jawi mengikut Arab) malah anak raja Funan pernah melarikan diri ke Jawa pada abad ke-6M apabila Kerajaan Funan diserang oleh negara peuftinya yang baru muncul bernama Chenla. Di sekitar pertengahan abad ke-4M lagi ada tulisan sejarah dari China yang mencatatkan datangnya wakil rasmi Kerajaan Mo-lo-yeu dan pelbagai ejaan lain lagi itu, dari Sumatera ke China, seperti yang dilaporkan oleh Obaidellah (1986) dan Liang (1996). Kerajaan atau orang yang sekarang disebut “Melayu” ini dicatat dalam aksara China yang ejaan transkripsinya dalam versi yang lain itu sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mali-yu-eul, Ma-lo-yu, Mo Lou Yu, Mo Lo Yu, Mo Lou Y, Mo Lou Yuu, Ma Li Yi Er, Ma La Yu, Wu Lai Yu dan Wu Lai Yu, yang merujuk kepada Malaya itu.

Sementara itu, segi catatan bertulis di Asia Tenggara ini sendiri pula, perkataan malayu, malayo, malayu atau malaiyur (masalah transkripsi aksara palawa ke Rumi) yang tertua setakat ini ialah yang tercatat di prasasti (batu bersurat) Padang Ruku/Roko/Rocore (abad abad ke-7M), atau di Sungai Langat, Sumatera yang bertarikh bersamaan 1029M dan di Tanjore 1030M; manakala prasasti yang dijumpai di Sungai Langsat (atau Batang Hari), Palembang, bertarikh bersamaan 1286M pula tercatat perkataan malayapura (bermakna kota malaya atau negara/kerajaan malaya).

Raja Kartanagara kerajaan Singhasari di Jawa (waris-warah Kerajaan Majapahit) dirakamkan mengadakan jelajahan yang dinamainya Pamalaya bagi menawan malaya (dan berjaya) pada abad ke-14M menyebabkan hilangnya Kerajaan Sriwijaya yang masyhur itu.

Di sini dianggap kerajaan baru muncul yang bernama Kerajaan Dharmasraya (kerajaan Melayu Jambi yang asalnya wujud sebelum berada di bawah kerajaan Sriwijaya yang hanya wujud mulai awal abad ke-7M) adalah juga warisan kerajaan Sriwijaya yang dikatakan runtuh pada 1088 akibat serangan Raja Chola dari Hindia itu.

Setengah ahli sejarah menegaskankan kerajaan di Jambi sebelum wujudnya Kerajaan Sriwijaya itulah berupa Kerajaan Melayu Tertua yang dirujuk oleh penulis-penulis China sebelum abad ke-6 Masihi lagi itu sebagai kerjaan Moloyu itu. Namun kami ada teori yang lain lagi tentang perkataan “Melayu” ini yang dijelaskan di dalam bab ini.

Sejarah kerajaan dan bahasa “Melayu” Purba/Kuno (lihat seksyen 1.6-1.9) juga tidak begitu menyokong teori etimologi perkataan “Melayu” yang lain daripada Malaya (Sanskrit) itu, lebih-lebih lagi teori yang dipaparkan oleh Tardjan Hadidjaja (1964) yang dipetik juga oleh Abbas (2005) bahawa kononnya perkataan “Melayu” itu daripada “layu” itu, dengan katanya “erti Melayu itu adalah melayukan diri-nya, iaitu yang di-ibaratkan orang dahulu kala…… ya‘ani ia merendahkan diri-nya” (Ini amat popular nampaknya, terutamanya secara lisan dan bualan dalam internet; umpamanya lihat Internet 1.2).

Apatah lagi teori yang lebih main-main lagi bahwa “Melayu” itu daripada perkataan Jawa, melayu atau mlayu, yang bermaksud “lari”, iaitu orang Melayu itu kononnya orang yang lari dari tempat lain terutamanya di sekitar “Asia Tenggara” ini (jika merujuk Melayu di Malaysia umpamanya) atau dari tempat-tempat di luar Asia Tenggara ini untuk menyokong hipotesis penghijrahan itu! (Lihat Internet 1.3 umpamanya). Teori kononnya “Melayu” ialah hasil perkahwinan China dengan Hindia/India sehingga lebih layak diberi nama bangsa Cindia seperti yang sengaja diperkenalkan oleh Saba (1999) juga termasuk dalam kategori yang sama.

Petikan beliau terhadap buku Kanchan (1990) tentang nama purba Asia Tenggara ini mengikut tulisan Hindu dahulu sebagai Swarnabumi (=Bumi Emas) bukanlah perkara baru seperti yang dibincangkan lagi kemudian, tetapi nama Semenanjung Melayu (Malay Peninsula) yang dahulunya merangkumi Selatan Thailand itu sebagai Malayadvipa dan kemudian menjadi Malaya memang baru, terutamanya mengenangkan sumber tersebut juga menyatakan nama Semenanjung Melayu sebelum dirujuk sebagai Malayadvipa itu ialah Shalamalidvipa sempena banyaknya pokok Shalamali (iaitu pokok kapuk atau kekabu) di Semenanjung itu.

Tetapi teori daripada Kanchan-Saba tentang nama Malayadvipa itu diberi setelah kononnya ramai sekali bangsa Malayalam berhijrah ke Shalamalidvipa dahulu agak menyasar atau meraban sahaja lagi.

Pertamanya, kalaulah benar teori ini, tentunya suku kaum India di Semenanjung Melayu ini majoritinya keturunan Malayalam, walaupun perkawinan Malayalam dengan China dikatakan berlaku dengan banyaknya hingga melahirkan Cindia itu tetapi dinamai Malaya dan menjadi “Melayu” itu, sukar diterima melainkan terbukti sekurang-kurangnya segi DNA-nya.

Mungkin kajian DNA Malayalam dengan “Melayu” patut dilakukan sesuai dengan kaedah kajian sekarang terhadap teori asal-usul manusia semuanya dari keturunan Eve di Afrika yang galak dilakukan oleh kumpulan Oppenheimer (2003) itu.

Teori Kanchan-Saba itu juga nampaknya bertentangan dengan banyak kajian atau pandangan sarjana lain. Umpamanya, mengikut Ibrahim (1950/1961), orang “Melayu” di “Semenanjung Melayu” ini adalah pehijrah dari Sumatera, dan penduduk SM yang sudah ada ketika itu ialah Orang Asli (yang mengikut Oppenheimer datangnya dari Afrika),

 kemudian datang orang Siam-Asli (mungkin sekali Funan atau Mon?), diikuti pula oleh ketibaan orang Hindu dari Hindia Utara sebelumnya ketibaan “Melayu” itu. Tiada tempat teori Cindia Saba itu! Yang adanya, Orang Hindu dari Hindia Utara ini memang banyak yang berkahwin denga penduduk tempatan dan akhir terasimilasi seperti orang tempatan juga.

Benarlah nama sebahagian besar Semenanjung Melayu atau Semananjung Tanah Melayu sebelum kemerdekaannya 1957 (dari Inggeris) ialah Malaya (dan sebahagian lagi yang tertinggal di bawah Siam/selatan Thai itu sejak abad ke-17M, lihat seksyen 1.9), tetapi nama Malaya ini lebih munasabah daripada terjemahan Hindia kepada Pnom/Phnom/Funan dan oleh itu Malayadvipa itu juga terjemahan kepada negara Pnom/Phnom/Funan (lihat seksyen 1.6), apabila mengenangkan pengaruh Hindia terhadap “Alam Melayu” ini bermula dengan kerajaan Funan dan Campa itu lagi bukan dengan Sriwijaya yang cuba digambarkan oleh Saba (1999) menerusi petikan kepada buku Kanchan (1990) itu.

Sehubungan dengan ini, teori mereka ini tentang Raja Suran sebagai pewaris raja Melayu pertama di Palembang seperti yang diperihalkan dalam Sejarah Melayu adalah Raja Chola dari India itu juga, walau dianggap satu teori yang sudah mantap, rasanya kita masih boleh berspekulasi bahawa Raja Chenla warisan Raja Funan di Kemboja (lihat seksyen 1.6) itu agak munasabah juga.

Hubungan Raja Chola dari India ialah hubungan konfrontasi menerusi serangan Raja tersebut ke atas Sriwijaya beberapa kali (iaitu 1017, 1025 dan 1068) yang melemahkan kerajaan Sriwijaya dan akhirnya jatuh ke tangan Majapahit itu. Hubungan Sriwijaya dengan Raja Chenla di Kemboja ialah hubungan warisan persaudaraan sehingga terjadinya persemendaan/perbesanan antara Sriwijaya dengan Sailindra/Silindra berketurunan Funan itu.

Usaha Saba (1999) nampaknya ialah untuk membuktikan raja “Melayu” dahulu kala adalah berasal daripada India dengan membawa hujah-hujahnya sendiri atau dipetik daripada buku Kanchan itu. Ada dua isu yang sepatutnya dipisahkan, iaitu isu raja dan rakyat “Melayu”. Tentang betapanya raja “Melayu” (termasuk “Melayu” yang lebih dahulu daripada Sriwijaya lagi) dari India memang dianggap terbukti lama sudah kerana semua sejarah dan mitos “Melayu” (Funan, Campa dan Sriwijaya yang diperihalkan dalam seksyen 1.6 hingga 1.8).

Tegasnya, asal mulanya raja-raja “Melayu” memang dari India/Hindia yang terus dikahwinkan/berkahwin dengan orang tempatan (iaitu pribumi/“Melayu”) tetapi selepas itu semakin hilang keIndiaan/keHindiaan itu kerana tiada lagi keturunan raja itu yang dilapor berkahwin dengan sesiapa dari Hindia. Malah raja Melaka yang pertama, Parameswara itu hampir semua sumber sejarah mengatakan bukan dari India tetapi seorang putera raja dari Jawa.

Kelemahan teori Kanchan-Saba ialah cuba menyamakan isu raja dengan rakyat itu sehingga beliau terpaksa mencipta banyak hipotesis atau mitos baru yang sukar diterima. Oleh sebab itu lama sebelum teori Kanchan-Saba ini, telah adalah pula teori yang mengatakan semua raja rumpun Melayu itu bukan berbangsa Hindia/India tetapi sengaja dimitoskan demikian bagi menguatkan kewajaran menjadi raja kerana sumber kerohanian orang “Melayu” pada masa itu memanglah Hindu-Budha yang datang dari Hindia/Hindu.

Walau bagaimanapun, benarlah adanya nama Semenanjung Melayu atau The Malay/Malayan Peninsula ini yang dahulunya/kemudiannya bernama Malaya tetapi (yang merangkumi juga selatan Thailand sekarang) tidaklah diketahui tarikh mula nama ini menjadi masyhur dan yang mana yang dahulunya, kerana orang Barat sebaru-barunya sejak abad ke-3M lagi merujuk semenanjung ini sebagai Semenanjung Emas (Golden Khersonene/Korsenes/Chorsenes atau lebih awalnya bahasa Latin, Aurium Chorsenesis, hasil terjemahan nama aslinya dalam bahasa Yunani).

Malah mengikut catatan Ahmad ‘Umar (2002:48), sarjana Yunani bernama Pompinios Milla menyebut “Chry Insula” dalam buku geografinya bertarikh 43M, Batlamiyus/Ptolomaeus/Ptolemy menyebut “Chry Cheresonese” dalam peta dunianya pada 127-141M dan Martionus dari Heracliea menyebut “Aurium Chorsenesis” (setelah diLatinkan) dalam bukunya Periplus Laut Luar abad ke-4M yang setiap satunya sama dengan rujukan Hindia kepada kawasan yang sama, Swarnabumi/Swarnadvipa atau Semenanjung Emas. Mengikut catatan di Internet 1.3, lebih awal daripada tarikh-tarikh di atas lagi, sebuah buku Yunani berjudul Periplous tes Erythras karya Straboi dan Plinus dan berikutnya dalam abad ke-2M buku Geographike Hyphegesis oleh Batlamiyus itu memerihalkan Argyre Chora (Negeri Perak), Chryse Chora (Negeri Emas), Chryse Chersonesos (Semenanjung Emas) dan Iabadiou (yang kemudiannya menjadi Yawadvipa) untuk kawasan di Gugusan Pepulau Melayu ini.

Mengikut Wheatley (1966) nama Golden Khersonene itu hidup hingga abad ke-15M. Mengikut tradisi Melayu juga nama Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia dan Thailand Selatan sekarang) ini dahulunya dinamai Nosa Koncana/Nusa Kencana yang bermakna Negara Emas (lihat Shaharir 1987/2000) yang mungkin sekali menjadi sumber nama Yunani dan Hindia itu.

Oleh : Shaharir Mohamad Zain
Sumber : http://www.kesturi.net/archives/366

Post a Comment

0 Comments